Menu

POSTING PILIHAN: ESSCOM RAMPAS ROKOK SELUDUP BERNILAI HAMPIR RM150 RIBU


Tawau, 24 Disember 2020 - Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) telah menahan dua lelaki bersama 10,160 bungkus rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM149,335 selepas cukai.

Komander ESSCOM, DCP Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, tangkapan itu dilakukan dalam serbuan ke atas sebuah rumah yang tidak bernombor di Kampung Hidayat Batu 4, di sini pada awal pagi tadi.

Katanya, hasil pemeriksaan di rumah tersebut menjumpai beberapa bungkus rokok yang disyaki tidak bercukai yang disembunyikan dalam dua bilik secara berasingan.
“Anggota keselamatan telah menyerbu stor tingkat bawah dan menjumpai 8,630 bungkus rokok yang disyaki tidak dibayar cukai Kastam manakala selebihnya 1,530 disembunyikan dalam sebuah bilik di tingkat 1, rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

DCP Datuk Ahmad Fuad berkata, kesemua suspek yang berumur 50 hingga 55 tahun termasuk seorang warga asing bersama barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Pos Daerah Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Beliau turut menyeru kepada semua lapisan masyarakat khususnya komuniti pesisir pantai agar sentiasa memberikan kerjasama termasuk menjadi mata dan telinga pihak pasukan keselamatan.

Orang awam disaran untuk melaporkan sebarang perlakuan jenayah yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam serta kes-kes yang melanggar undang-undang negara seperti kes-kes penyeludupan, kes curi dan rompak serta kes-kes kemasukan pati di kawasan ESSZONE ke Pusat Operasi ESSCOM ditalian 089-863181.

Sumber: Eastern Sabah Security Command – Esscom dan Borneo Today

No photo description available.

No photo description available.

No photo description available.

No photo description available.

No photo description available.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS