Menu

[KERATAN AKHBAR PILIHAN] SCAM ALERT: PKP, JENAYAH KOMERSIL TURUN 50%


Kuala Lumpur, 2 Januari 2021 - Penangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu memperlihatkan nilai kerugian membabitkan jenayah komersil di negara ini turun mendadak lebih 50 peratus, dengan hanya RM2.06 bilion sepanjang tahun lalu berbanding RM6.22 bilion pada 2019.

Penurunan indeks kerugian itu disebabkan jenayah pecah amanah yang semakin berkurangan iaitu hanya 1,230 kes dengan nilai kerugian RM641 juta tahun lalu berbanding 2,067 kes dengan nilai kerugian RM4.5 bilion tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, kes membabitkan penipuan di bawah Seksyen 415-420 Kanun Keseksaan yang menjadi penyumbang terbesar pada tahun 2019 dengan memonopoli 84 peratus daripada keseluruhan kes terus meningkat kepada 89 peratus daripada kes keseluruhan tahun lalu, dengan nilai kerugian RM1.4 bilion.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, CP Dato’ Zainuddin Yaacob menjelaskan, trend jenayah komersil tahun lalu sedikit berubah dengan pelaksanaan PKP berikutan penularan COVID-19 kerana kurangnya pergerakan sekali gus menyukarkan penjenayah bersemuka dan memancing mangsa.

Ujarnya, dalam situasi pandemik COVID-19, timbul banyak sindiket penipuan yang menjalankan kegiatan menggunakan teknologi media sosial dan aplikasi telefon pintar, sekali gus mencatatkan peningkatan kes penipuan khususnya e-dagang dan pelaburan palsu.

"Kita dapati penjenayah lebih memfokuskan penipuan e-dagang dan pelaburan palsu yang tidak perlu bersemuka berikutan pelaksanaan PKP. Ini dapat dilihat daripada statistik penipuan e-dagang yang mencatatkan kerugian RM40 juta menerusi 5,769 kes tahun lalu berbanding kerugian RM28 juta menerusi 3,420 kes pada tahun 2019.

"Ketika pelaksanaan PKP, orang ramai lebih banyak membuat pembelian menerusi platform e-dagang, jadi sudah tentu terdapat sindiket yang mempergunakan trend tersebut sebagai satu peluang baharu menipu pembeli. Kita telah jalankan siasatan dan menahan 2,206 suspek yang terlibat dalam kes ini,” katanya.

Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Utusan Malaysia seperti berikut.

Sumber: Utusan Malaysia

No photo description available.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS