Kuala Lumpur, 14 Januari 2021 - Polis menyelamatkan 43 wanita warga asing yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi kerja secara paksa oleh sebuah syarikat perkhidmatan pembersihan di Cheras di sini, awal pagi semalam.
Mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 37 wanita warga Indonesia dan enam wanita warga Kemboja berusia antara 20 hingga 43 tahun.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) D3, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Tuan Fadil Marsus berkata, polis membuat lima serbuan berasingan di Cheras dan menahan 18 suspek lelaki dan seorang wanita berusia 25 hingga 60 tahun.
Beliau berkata, daripada 19 suspek yang ditahan, tiga daripada mereka dipercayai pemilik dan pengurus syarikat, manakala suspek lain berperanan sebagai penjaga asrama pekerja dan mengangkut mangsa ke tempat kerja.
"Semua mangsa yang diselamatkan bekerja sebagai tukang cuci dan dipercayai dieksploitasi mengikut takrifan sebagai buruh paksa," ujarnya.
Bacaan lanjut menerusi keratan akhbar Berita Harian di lampiran.