Shah Alam, 23 Januari 2021 - Polis Selangor mendedahkan sebanyak 17 kumpulan kongsi gelap kini di bawah pemantauan unit khas yang ditubuhkan di bawah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri itu.
Pemangku Ketua Polis Selangor, DCP Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata, ahli dan ketua semua kumpulan itu kini dipantau berikutan beberapa kes jenayah di Lembah Klang yang dikaitkan dengan kumpulan berkenaan.
Menurut beliau, kumpulan itu disyaki terlibat dalam kes bunuh, samun, pemerasan dan merekrut ahli baharu.
“Laporan yang kerap diterima polis ialah mereka banyak terlibat dalam pergaduhan melibatkan kumpulan yang berpunca daripada perebutan kawasan dan merekrut ahli kumpulan lain.
“Perebutan kawasan lazimnya berlaku akibat aktiviti menjual dadah dan peras ugut (wang perlindungan) serta pelbagai kegiatan jenayah lain yang boleh mendatangkan wang dan pendapatan,” katanya.