Melaka, 5 Februari 2021 - Kegiatan mengedar mercun yang berselindung di sebalik misi menghantar bantuan banjir bagi mengaburi pihak berkuasa tumpas selepas polis membuat empat serbuan di sekitar Melaka Tengah dan Alor Gajah pada Isnin dan Selasa.
Ketua Polis Melaka, DCP Dato’ Abdul Majid Mohd Ali berkata, polis menahan lapan individu termasuk seorang wanita warga Thailand berumur 25 dan 39 tahun dan merampas mercun bernilai RM510,000.
Katanya, suspek bertindak menampal poster misi bantuan banjir di badan lori ketika menghantar mercun kepada pelanggan.
Beliau berkata, dalam serbuan antara jam 2.30 petang dan 7.30 malam Isnin di sekitar Batu Berendam dan Ayer Keroh, polis menahan lima lelaki yang kemudiannya membawa kepada satu serbuan keesokan harinya di sebuah premis yang dijadikan stor simpanan bekalan mercun.
"Bekalan mercun pelbagai jenis dan sebahagian barangan terlarang ditemukan di dalam sebuah lori, disorok di dalam kam-pit beras dianggarkan semuanya bernilai RM510,000). Dalam serbuan itu kita juga menahan dua lelaki serta seorang wanita yang juga isteri kepada seorang suspek," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini pada Khamis.
Dato’ Abdul Majid berkata, siasatan mendapati kumpulan ini aktif sejak dua bulan lepas dan kesemua bekalan dibawa masuk dari negeri jiran sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Sumber: