Kuala Lumpur, 5 Februari 2021 - Aliran trafik di beberapa laluan utama sekitar Lembah Klang hari ini, dikesan mengalami kesesakan berbanding kebiasaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berkemungkinan susulan pengumuman kerajaan yang membenarkan beberapa sektor perniagaan kembali beroperasi.
Tinjauan Berita Harian (BH) bersama Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani, di susur keluar Plaza Tol Sungai Besi, menuju ke pusat bandar raya di sini, mendapati kesesakan berlaku sepanjang satu kilometer sebelum melalui Sekatan Jalan Raya susur masuk ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Dato’ Sri Acryl Sani berkata, berdasarkan laporan yang diterima daripada Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, laluan dari arah Seremban menuju ke ibu negara dan kawasan lain di Selangor agak sesak sejak pagi tadi terutama di kawasan yang ada sekatan jalan.
"Memang kita jangkakan akan berlaku halangan atau kelewatan di setiap sekatan jalan yang didirikan disebabkan pengguna jalan raya terpaksa menunggu pemeriksaan dan ini sememangnya tidak dapat kita elakkan demi memastikan tugas pemeriksaan dapat dilakukan dan semua pihak diharap dapat bersabar.
"Saya juga berharap supaya pengguna jalan raya dapat memberikan kerjasama kepada petugas penguatkuasa di sekatan jalan dengan memastikan semua dokumen kebenaran bekerja di sektor dibenarkan serta kebenaran melakukan rentas daerah dan negeri dalam keadaan mudah untuk ditunjukkan," katanya.
Beliau berkata tindakan itu akan mempercepatkan sedikit jangkamasa untuk urusan pemeriksaan polis seterusnya membenarkan mereka melepasi sekatan jalan.
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN