Menu

#PKP #PKPB #PKPP #COVID-19 ARTIKEL PILIHAN: KOMPAUN UNTUK MENDIDIK BUKAN JANA HASIL BUAT KERAJAAN - KPN

 
Kuala Lumpur, 11 Februari 2021 - Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador menegaskan, tindakan kompaun terhadap individu yang melanggar peraturan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya untuk mendidik masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Katanya, orang ramai harus faham bahawa apa saja hukuman yang dikuatkuasakan di bawah sesuatu undang-undang bukan untuk menunjukkan pasukan PDRM merupakan agensi paling cekap mengutip hasil buat kerajaan.

“Masyarakat tidak perlu takut berdepan hukuman sekiranya mereka sendiri memahami berhubung larangan yang ditetapkan. Misalnya memakai pelitup muka, tidak boleh berkumpul di tempat awam tanpa tujuan itu cukup senang untuk dipatuhi.

“Memang berat buat warga PDRM untuk mengambil tindakan kompaun kecuali terpaksa kerana apabila pematuhan longgar mengakibatkan peningkatan dalam kes COVID-19,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan menaikkan nilai kompaun, Tan Sri Abdul Hamid memberitahu sudah tiba masanya mewartakan kadar kompaun baru kerana masih ramai masyarakat gagal mematuhi SOP dan ia terbukti apabila ribuan kompaun dikeluarkan setiap minggu.

Jelas beliau, orang ramai tidak perlu takut jika nilai kompaun dinaikkan kepada RM10,000 sekiranya patuhi undang-undang yang ditetapkan.

“Apa yang saya lihat kini, ramai menggunakan alasan-alasan penting diri untuk keluar rumah melebihi 10 kilometer sebagai contoh mahu ke pasaraya jauh dari kawasan kediaman dengan alasan sudah biasa membeli barang keperluan di sana.

“Sepatutnya masyarakat mengambil peluang daripada arahan ini untuk mendisiplkan diri demi kebaikan sendiri bukan cuba mencabar undang-undang yang ditetapkan,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau juga menegaskan nilai kompaun bukan ditentukan PDRM dan sekiranya ada pihak yang tidak puas hati boleh merayu.

“Mesti diingatkan, pihak polis hanya mengeluarkan saman namun nilai kompaun itu ditentukan pegawai kesihatan daerah dan saya sendiri tidak mempunyai kuasa membatalkan kompaun itu,” katanya.

Sumber: Abdul Hamid Bador dan 


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS