Menu

[KERATAN AKHBAR PILIHAN] HARI POLIS KE-214: DSP HASNAL DITEMBAK TIGA KALI, KENA TETAK ENAM KALI OLEH PENGGANAS SULU

Melaka, 29 Mac 2021 - "Saya telah ditembak tiga kali, satu di perut yang menembusi badan belakang dan dua di lengan. Walaupun parah, setelah saya nampak pegawai saya Superintendan Ibrahim Lebar (dinaikkan pangkat kepada ACP) masih bernyawa, saya gagahkan diri untuk menyelamatkannya.

"Namun, beliau akhirnya 'gugur' ditepi saya," kata DSP Mohamad Hasnal Jamil.

Peristiwa berdarah pada 2 Mac 2013 yang berlaku kira-kira pukul 7.30 malam di Kampung Simunul, Semporna, Sabah itu akan terus disimpannya rapi dalam ingatan dan disemat kemas di dada sebagai salah seorang pejuang negara.

DSP Mohamad Hasnal merupakan salah seorang pegawai daripada Cawangan Khas (SB) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dalam Op Daulat bagi menghapuskan kumpulan pengganas yang cuba merampas Sabah dengan dakwaan ia merupakan tanah wilayah kesultanan Sulu.

Beliau berkata, pertempuran itu berlaku selepas pasukan polis dapat menghidu pergerakan pengganas yang diasaskan oleh Jamalul Kiram III dan rancangan mereka untuk menawan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

Jelasnya, sebelum pasukan pertahanan menyelinap masuk ke perkampungan tersebut, beliau bagaimanapun sempat bertanya buat kali terakhir kepada Allahyarham ACP Tuan Ibrahim mengenai keputusan untuk berjuang bermatian-matian pada malam terbabit.

"Saya tanya Tuan (Ibrahim), musuh dah tahu, mereka dah bersedia, macam mana tuan?

"Saya tanya pandangannya, Allahyarham balas, Hasnal, kita lawan. Maka, masa itu saya telah nekad untuk bertempur habis-habisan. Ketika kejadian, musuh memulakan tembakan sebelum disusuli pasukan kami. Bunyi tembakan dalam pertempuran itu langsung tidak berhenti selama 15 minit pertama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini, semalam.

Bacaan lanjut seperti di keratan akhbar terbitan Utusan Malaysia.

May be an image of one or more people and text

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS