Kuala Lumpur, 1 April 2021 - Pihak berkuasa termasuk di kawasan sempadan negara diletakkan dalam keadaan siap siaga susulan kemungkinan dalang Geng Nicky yang terlibat dalam sindiket jenayah terancang Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee akan melarikan diri ke negara lain.
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sudah meletakkan Nicky Liow dalam senarai individu dikehendaki.
"Apabila nama dia (Nicky Liow) itu dalam senarai dikehendaki, pihak berkuasa di jalan keluar dekat kawasan sempadan, jeti, pelabuhan dan lapangan terbang akan dimaklumkan mengenai situasi berbangkit" katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan pengasas Winner Dynasty Group berusia 33 tahun itu kali terakhir dilihat di Setia Walk, Puchong, Selangor pada 20 Mac lalu.
Dalam sidang akhbar di Bukit Aman pada Selasa, Ketua Polis Johor, CP Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan lanjut masih giat dilakukan bagi mengesan ketua kumpulan Geng Nicky itu yang disyaki terbabit aktiviti jenayah terancang antarabangsa dan pengubahan wang haram.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Sinar Harian seperti di lampiran.