Kuala Lumpur, 6 April 2021 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka semula kertas siasatan berhubung dakwaan kemunculan kembali Geng Lanun Merah Black Maria 360 yang disyaki mengendalikan aktiviti pembuangan sisa toksik berjadual, pengedaran dadah dan penyeludupan pendatang tanpa izin di sekitar Klang.
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato' Seri Acryl Sani Haji Abdullah Sani berkata pihaknya telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman serta Ketua Polis Selangor, CP Dato' Arjunaidi Mohamed untuk kembali membuat pemantauan dan siasatan berterusan berhubung dakwaan terbabit.
"Jika diikutkan sebelum ini, perkara terbabit telah timbul dan PDRM menerusi JSJ telah membuat siasatan terperinci di mana kami dapati ia tidak wujud seperti didakwa.
Namun apa yang berlaku kini perkara terbabit kembali ditimbulkan jadi saya telah mengarahkan untuk perkara ini kembali disiasat. Kami dalam masa sama masih menunggu sebarang hasil siasatan yang dilakukan," katanya kepada media selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 Polis Diraja Malaysia di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, di sini, hari ini.
Pada 4 April lepas, media melaporkan kumpulan berkenaan dianggotai tidak kurang 500 ahli menjadikan kumpulan kongsi gelap itu antara kumpulan penjenayah terancang menguasai pelbagai kegiatan jenayah di kawasan Klang, Selangor.