Kuantan, 13 April 2021 - Polis menahan lima remaja dan menyita 30 kereta dipercayai terbabit dengan aktiviti lumba haram dalam operasi di Taman Perindustrian Indera Mahkota 14 dekat sini, semalam.
Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr. Bakri Haji Zainal Abidin, berkata operasi selama tujuh jam bermula 5 petang itu mendapati lima remaja berkenaan memandu tanpa lesen dan laluan sepanjang 250 meter di taman itu sering dijadikan 'litar' bagi pelumba haram beradu kelajuan.
"Dua kereta akan dilepaskan serentak bagi menentukan kenderaan yang paling laju untuk diumumkan sebagai pemenang. Semua kenderaan terbabit didapati melakukan pengubahsuaian pada enjin dan bahagian dalaman bagi membolehkan pemandunya mencapai kelajuan maksimum," katanya kepada pemberita di Balai Polis Trafik Kuantan di sini malam tadi.
Menurut Superintendan Dr. Bakri, siasatan lanjut sedang dilakukan untuk mengenal pasti sama ada perlumbaan itu turut membabitkan wang pertaruhan kerana polis percaya ia bukan kali pertama dianjurkan.
Operasi berkenaan membabitkan tujuh pegawai dan 25 anggota dari JSPT Bukit Aman, Ibu Pejabat Kontinjen Pahang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Harian Metro seperti di lampiran.