Menu

ARTIKEL PILIHAN: DATO' SRI ABD RAHIM BERSARA, DATO' AZRI PEMANGKU PENGARAH JABATAN KDNKA


Kuala Lumpur, 18 Mei 2021 - Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, CP Dato' Sri Abd Rahim Jaafar akan bersara wajib esok selepas 35 tahun menyumbang bakti dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

PDRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan sehubungan itu, Timbalan Pengarah (Gerakan) KDNKA, CP Dato' Azri Ahmad telah memangku jawatan Pengarah Jabatan KDNKA.

Dato' Sri Abd Rahim yang dilahirkan pada 19 Mei 1961 di Pekan, Pahang mula menyertai PDRM sebagai Kadet ASP pada 2 Feb 1986.

Setelah tamat latihan Kadet ASP, pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia itu telah ditugaskan sebagai ASP Kongsi Gelap, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan seterusnya sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas.

Selain itu, beliau menyandang beberapa lagi jawatan penting antaranya Timbalan Ketua JSJ Terengganu, Timbalan Ketua JSJ Kedah, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Timbalan Ketua Polis Selangor, Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman dan Ketua Polis Kedah.

Beliau seterusnya dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman pada 29 Januari 2019 dan mengambil alih jawatan Pengarah Jabatan KDNKA pada 9 September 2020.
Seluruh warga PDRM mengucapkan jutaan terima kasih atas khidmat bakti Dato' Sri Abd Rahim kepada Pasukan selama ini dan semoga berbahagia meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Terima kasih Dato' Sri Abd Rahim!

Sumber: BERNAMA

https://www.bernama.com/bm/jenayah_mahkamah/news.php?id=1962764&fbclid=IwAR3NoTST9amAfKuotn6VV54h8_SPNzbQB_zOQNWBzRRkhokLJW-_SjWGFIw

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS