Kuala Lumpur, 25 Mei 2021 - Seorang juruteknik penghawa dingin ditahan semalam selepas cuba menyogok seorang pegawai kanan polis sebanyak RM120,000 bagi membebaskan rakannya yang ditahan atas kesalahan dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, CP Dato’ Razarudin Husain berkata, individu lelaki berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak di Sri Damansara pada kira-kira pukul 9 malam ketika cuba menyerahkan wang sogokan berkenaan kepada pegawai polis berkenaan.
“Pegawai polis berkenaan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang telah menerima dua panggilan daripada sorang suspek kes dadah pada pukul 4 petang dan 6 petang semalam ketika berada di rumahnya di Jalan Kuching di sini dan cuba menawarkan wang tunai sebanyak kira-kira RM100,000 kepada beliau.
“Wang sogokan berkenaan adalah bagi tujuan melepaskan suspek daripada diambil tindakan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki Syabu tetapi tidak diendahkan dan dilarang oleh pegawai berkenaan,” katanya.
Tambah Dato’ Razarudin, pegawai polis berkenaan kemudian menghubungi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang yang kemudian melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Pada kira-kira pukul 9 malam di sebuah stesen minyak di Sri Damansara rakan kepada suspek hadir untuk membuat penyerahan wang sogokan sebanyak RM120,000 dan pegawai SPRM Selangor yang hadir bersama pegawai berkenaan telah melakukan tangkapan terhadap lelaki tersebut,” katanya.