Menu

PERUTUSAN KETUA POLIS NEGARA SEMPENA SAMBUTAN PESTA KAAMATAN DAN HARI GAWAI TAHUN 2021

Salam Sejahtera

Kedatangan bulan Mei dan Jun setiap tahun, pastinya amat dinanti-nantikan oleh masyarakat berketurunan Kadazan-Dusun dan Dayak di Sabah serta Sarawak, bagi meraikan Sambutan Pesta Kaamatan (Tadau Kaamatan) dan Hari Gawai sebagai tanda kesyukuran atas nikmat hasil yang dianugerahkan selepas berakhirnya musim menuai.
 
Ini merupakan tahun kedua perayaan-perayaan tersebut disambut secara bersederhana dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ekoran situasi semasa COVID-19 yang semakin membimbangkan. Meskipun Kerajaan telah menetapkan tiada sebarang aktiviti ziarah atau ‘ngabang’ sepanjang perayaan ini dan sambutan hanya dibenarkan dalam kalangan ahli keluarga serumah, namun saya yakin ia tetap diraikan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Peningkatan kes positif harian dan kewujudan kluster-kluster baharu yang berpunca daripada aktiviti ziarah sempena Hari Raya Aidilfitri, haruslah menjadi iktibar kepada semua. Justeru, kesedaran dan sikap kebertanggungjawaban dalam diri setiap ahli masyarakat terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) perayaan yang ditetapkan, amat penting bagi mengekang penularan wabak ini.

Saya turut mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia supaya mengamalkan kawalan pergerakan kendiri dengan kekal berada di kediaman masing-masing, sekiranya tiada sebarang urusan penting di luar agar kita dapat memutuskan rantaian penularan wabak berbahaya ini. Yakinlah bahawa kita mampu mencapai penurunan kadar kebolehjangkitan virus ini sekiranya kita terus bersatu hati dan berpadu usaha untuk bersama-sama memeranginya.

Sempena dengan sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai ini juga, saya berharap seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat, di samping kekal bersemangat dalam menjalankan tugas penguatkuasaan dan pemantauan ke atas pematuhan SOP PKP sebagaimana yang digariskan oleh pihak Kerajaan. Dalam masa yang sama, seluruh petugas barisan hadapan PDRM juga diingatkan agar mengamalkan perlindungan diri pada tahap tertinggi demi membendung penularan wabak COVID-19, khasnya dalam kalangan warga Pasukan dan keluarga.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga pandemik ini segera berakhir dan kita dapat kembali menikmati kehidupan yang bermakna bersama keluarga serta menjalankan aktiviti harian seperti sedia kala.

Dengan ingatan tulus ikhlas, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan (Tadau Kaamatan) dan Hari Gawai kepada warga PDRM serta seluruh rakyat Malaysia, yang meraikannya.

“Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan,
Gayu Guru Gerai Nyamai”

(DATO’ SRI ACRYL SANI BIN HAJI ABDULLAH SANI) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia

May be an image of text that says 'Panus IRAJA HAISTY SELAMAT MENYAMBUT PESTA KAAMATAN KOTOBIAN TADAU TAGAZO DO KAAMATAN HARI GAWAI GAYU GURU GERAI NYAMAI 2021 IKHLAS DARIPADA, IG DATO' SRI ACRYL SANI HAJI ABDULLAH SANI KETUA POLIS NEGARA'
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS