Shah Alam, 9 Julai 2021 - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dan merampas pelbagai jenis bahan terlarang itu dianggarkan bernilai RM44 juta menerusi 10 serbuan berasingan di sekitar Serdang, Ampang Jaya dan Subang Jaya, Isnin lalu.
Ketua Polis Selangor, CP Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman turut memberkas 14 individu termasuk empat wanita disyaki ahli sindiket itu dalam operasi berkenaan.
"Hasil serbuan, polis membongkar tiga stor menyimpan dadah dan merampas 431 bungkusan berisi dadah jenis Syabu, 863 slab disyaki Heroin Base serta 2,000 biji pil Erimin 5 dengan anggaran berat 764.34 kilogram bernilai RM44 juta.
"Polis juga menahan 10 lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang wanita warga Vietnam (isteri kepada seorang suspek lelaki).
"Kesemua suspek berumur lingkungan 20 hingga 70 tahun disyaki terbabit kegiatan pengedaran dadah Syabu, Heroin Base dan pil Erimin 5 di sekitar Lembah Klang," katanya pada sidang media secara maya, hari ini.
Selain itu, Dato’ Arjunaidi berkata, polis menyita pelbagai aset sindiket membabitkan tujuh kenderaan, tujuh akaun bank, wang tunai pelbagai negara, seutas jam tangan berjenama mewah dan pelbagai barang kemas.