Petaling Jaya, 20 Julai 2021 - Tiada kompromi sebaliknya kompaun dikeluarkan serta-merta selain wajib berpatah balik kepada mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan cuba merentas negeri termasuk semasa sambutan Aidiladha hari ini.
Amaran itu dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan terdapat 70,419 permohonan rentas negeri dan daerah diterima PDRM.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, CP Dato’ Zainal Abidin Kasim berkata, daripada jumlah itu, hanya 66,227 permohonan rentas negeri dengan alasan munasabah seperti kematian dan kecemasan diluluskan.
Bagaimanapun, menurut beliau, sebanyak 4,192 permohonan ditolak sebab alasan dikemukakan tidak mengikut SOP Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini.
"Sebanyak 13,177 kenderaan diarah berpatah balik selepas dikesan cuba masuk ke beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur pada Jumaat lalu sehingga semalam.
"Dalam tempoh sama, sebanyak 1,323 kompaun dikeluarkan kepada individu berkenaan kerana melanggar SOP PKP," katanya.
Dato’ Zainal Abidin berkata, jumlah Sekatan Jalan Raya (SJR) masih kekal sama seperti sebelum ini.
Bagaimanapun, tambah beliau, pihaknya akan terus memperketatkan laluan-laluan tikus selain pemantauan berterusan oleh pasukan pemantau.
Kelmarin, kerajaan mengumumkan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak boleh digunakan untuk merentas negeri atau daerah bermula 18 Julai hingga esok.
Tindakan itu dibuat bagi mengelak perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menyalahguna surat kebenaran MITI untuk merentas negeri bagi tujuan pulang ke kampung menyambut Aidiladha.
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN