Kuala Lumpur, 13 Ogos 2021 - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) perlu memaklumkan kepada polis mengenai jangkaan kehadiran orang awam untuk mengambil vaksin lebih awal, agar polis dapat membuat persediaan dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), CP Dato’ Zainal Abidin Kasim berkata makluman itu bagi mengelakkan sebarang ketidakpatuhan SOP berlaku di PPV sehingga kawasan itu menjadi sesak dengan orang ramai.
“Sebagai contoh kejadian sebelum ini, di PPV KLCC yang tular dengan ketidakpatuhan SOP termasuklah kejadian terbaru Rumah Prihatin @ Grand Seasons, di sini, yang berlaku salah faham, (sehingga) orang ramai menganggapnya sebagai PPV.
“Seelok-eloknya orang ramai yang nampak dengan kejadian seumpama ini terus melaporkan dan janganlah terlalu asyik merakam sesuatu kejadian itu hingga terlupa untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kejadian tular PPV KLCC dan Rumah Prihatin @ Grand Seasons berhubung ketidakpatuhan SOP.
Selain itu, Dato’ Zainal Abidin berkata orang ramai diminta untuk tidak menularkan sesuatu kejadian ketidakpatuhan SOP hingga menimbulkan ketidaktenteraman awam.
Beliau berkata sekiranya orang ramai tidak mempunyai sebarang nombor telefon mana-mana bilik gerakan polis mereka boleh berbuat demikian dengan hanya menghubungi talian 999.
"Setidak-tidaknya mereka boleh menghubungi talian 999, pihak saya kalau dapat maklumat, mustahil polis tidak ambil tindakan berhubung kejadian ketidakpatuhan SOP," katanya.
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN