Kuala Lumpur, 25 Ogos 2021 - Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia), DCP Dato' Sanusi Sidek hari ini meluangkan masa menyantuni penerima Darjah dan Bintang Gagah Perkasa Persekutuan bagi kategori pesara yang masih hidup, melalui Program Jejak Perwira sempena Sambutan Hari Pahlawan 2021.
Lawatan kebajikan tersebut melabuhkan tirainya di sekitar Lembah Klang dengan menziarahi pesara Sarjan Haji Mohd Aziz Mohd Yusoff di kediamannya yang terletak di Taman Koperasi Polis, Batu Caves, Selangor. Pogram Jejak Perwira akan diteruskan ke enam kontinjen lain iaitu Perlis, Perak, Melaka, Johor, Kelantan dan Sarawak.
Dalam lawatannya, Dato' Sanusi yang diiringi Penolong Pengarah Pengurusan (Hal Ehwal Pesara), Jabatan Pengurusan, ACP Puan Siti Dalila Mohd Yasin turut menyampaikan sumbangan sebagai tanda keprihatinan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di dalam menjaga kebajikan warganya terutamanya golongan pesara.
Kini di usia 74 tahun, pesara Sarjan Haji Mohd Aziz merupakan salah seorang ikon sejarah perjuangan yang masih hidup dan pernah mempertahankan keselamatan serta keamanan negara bersama rakan-rakannya, suatu ketika dahulu.
Semoga Tuan Haji Mohd Aziz dan semua pesara polis sentiasa dikurniakan kesihatan berpanjangan serta sentiasa beroleh kebaikan di dunia dan akhirat. Terima kasih dari kami, seluruh warga PDRM.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin