Kota Bharu, 29 Ogos 2021 - Dengan upah antara RM100 hingga RM300, seorang pemandu lori hanya perlu menghantar baja bersama 880,000 rokok seludup dari pangkalan haram di sempadan Kelantan-Thailand ke Johor.
Rokok itu dianggar bernilai RM660,000 diisi dalam 88 kotak coklat dan disorok di bawah timbunan baja yang ditutup kanvas.
Namun malang buat pemandu berusia 44 tahun itu apabila lori Nissan UD dipandunya ditahan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dilihat mencurigakan di Jalan Tendong-Melor di sini, jam 9.00 pagi kelmarin.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Tuan Hasan Basri Ahmad Safar berkata, anggota kemudian membuat pemeriksaan ke atas kenderaan itu dan menemui rokok seludup tersembunyi di belakang lori manakala suspek mengemukakan dokumen pengoperasian palsu bagi mengaburi petugas ketika melalui sekatan jalan raya (SJR).
"Siasatan mendapati semua rokok dibawa masuk secara haram melalui jalan sungai untuk pasaran Johor dan suspek mengaku bertanggungjawab sebagai transporter yang menerima upah RM100 hingga RM300.
"Anggota menahan suspek, merampas lori serta rokok untuk disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya pada sidang media di Kem PGA Batalion 8 di Pengkalan Chepa di sini, semalam.