Gombak, 24 September 2021 - Polis menumpaskan sindiket samun kedai emas dikenali 'Geng Amir @ Kecik' yang aktif menjalankan kegiatan itu sejak Mei lepas melibatkan kerugian lebih RM879,000 setelah menahan 23 individu termasuk dua wanita dalam beberapa serbuan di Lembah Klang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, kesemua suspek merupakan warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu ditahan menerusi Op Dulang yang dijalankan pada 13 hingga 20 Sept lepas.
"Hasil daripada maklumat, sepasukan polis JSJ Selangor telah menjalankan operasi dan menahan 21 lelaki dan dua wanita termasuk ketuanya disyaki terlibat dalam kes samun di empat buah kedai emas di Setapak, Kepong, Gombak dan Seri Kembangan bermula Mei lepas.
"Modus operandi kumpulan ini ialah melakukan samun ke atas kedai emas dengan bersenjatakan parang, kapak serta tukul besi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selangor, di sini hari ini.
Menurut beliau hasil siasatan lanjut mendapati ahli kumpulan itu berpura-pura sebagai pelanggan dan membuat pemerhatian ke atas kedai emas yang akan dijadikan sasaran bagi menentukan kelemahan yang ada di premis terbabit.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.