Kuala Terengganu, 4 Oktober 2021 - Bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini yang sudah berusia 84 tahun akan diganti baharu bagi memberi keselesaan kepada seramai 993 anggota dan kakitangan.
Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hamzah Zainudin berkata, pembinaan bangunan baharu itu sudah dimulakan di atas tapak sedia ada seluas 2.04 hektar melibatkan kos sebanyak RM104 juta.
Beliau berkata, projek tersebut merupakan sebahagian pelan strategi keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memberikan kelangsungan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat khususnya rakyat negeri ini.
“Pembinaan IPK ini mencerminkan iltizam PDRM yang jitu khususnya untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri selamat untuk didiami dan masyarakatnya hidup dengan aman serta mengambil berat tentang isu-isu keselamatan bersama.
“Saya berharap projek pembinaan ini akan berjalan lancar dan siap pada masa yang telah ditetapkan iaitu dalam tempoh tiga tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan IPK Terengganu di sini pada Isnin.