Tangkak, 8 Oktober 2021 - Sebuah banglo yang terletak dalam kawasan kebun di sini, dikesan dijadikan lokasi simpanan bekalan rokok seludup oleh seorang lelaki dalam usaha mengaburi pihak berkuasa.
Namun, kegiatan yang dijalankan sejak kira-kira tiga bulan lalu dihidu anggota risik Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras dan Batalion 6, PGA Muar.
Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA, DSP Salehin Suleiman berkata dalam serbuan Isnin lalu, sejumlah 163,200 kotak rokok jenis U2 disyaki tidak bercukai dirampas dalam sebuah banglo terletak dalam kebun di Kampung Teratai, Bukit Serampang.
"Turut ditemui 13,600 karton rokok dan sebuah lori tiga tan serta dua buah van. Keseluruhan nilai rampasan dianggar berjumlah RM3.4 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, di sini, hari ini.
"Lelaki yang turut mempunyai rekod lampau berkaitan narkotik ini kini direman selama 14 hari bermula Selasa di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967," katanya.
Sumber: Berita Harian dan One News
