Menu

KENAIKAN PANGKAT BUAT TIGA WIRA NEGARA TANDA PENGHARGAAN PASUKAN

Kuala Lumpur, 22 Oktober 2021 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menghargai pengorbanan tiga wira negara yang terkorban semasa melakukan penugasan cegah jenayah dengan memberikan kenaikan pangkat 'Posthumous' secara medan dalam satu majlis ringkas di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Kenaikan pangkat tersebut disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin kepada Allahyarham Sarjan Mejar Hj. Mohd Arifah Md. Yasin, Allahyarham Sarjan Abdul Rahman Nordin dan Allahyarham Koperal Mohd. Muradzi Mohd. Nawi yang diwakili oleh balu serta ahli keluarga masing-masing.

Allahyarham Sarjan Mejar Hj. Mohd Arifah bersama rakan setugas, Allahyarham Koperal Mohd. Muradzi yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, terkorban akibat kemalangan ketika mengejar suspek lumba haram dalam Operasi Samseng Jalanan di Kilometer 24.4 Sistem Lingkaran - Lebuh Raya Kajang (SILK), pada 8 Ogos lalu.

Manakala Allahyarham Sarjan Abdul Rahman yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, meninggal dunia akibat cedera parah dalam kemalangan jalan raya di persimpangan lampu isyarat Jalan Tampoi - Jalan Padi Emas 1 ketika menjalankan tugas risikan di sekitar kawasan Tampoi, Johor Bahru, Johor pada 11 Julai lepas.

Majlis yang diselubungi suasana pilu itu bukan sahaja dirasai oleh waris-waris yang hadir, malah semua hadirin di dalam dewan masih terkesan dengan pemergian ketiga-tiga anggota polis yang sanggup bergadai nyawa demi menjalankan amanah buat Pasukan dan negara.

Selain kelengkapan seragam Anggota Pangkat Rendah yang diletakkan dalam bingkai gambar, Dato’ Seri Hamzah turut menyampaikan Skim Ex-Gratia Bencana Kerja PDRM dan faedah terbitan kepada kesemua waris yang hadir.

Terdahulu, telah berlangsung penyerahan surat pelantikan ahli Suruhanjaya Pasukan Polis kepada bekas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Dato’ Sri Abd Rahim Jaafar oleh Dato' Seri Hamzah.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Wan Ahmad Dahlan Hj. Abdul Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato’ Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman, Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani, Timbalan KPN, DIG Datuk Seri Hj. Mazlan Lazim, Pengerusi Koperasi PDRM, Dato’ Hasanuddin Hassan, barisan Pengarah dan para pegawai kanan PDRM.

Pada hari Jumaat yang penuh kemuliaan dan keberkatan ini, marilah sama-sama kita berdoa agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beramal soleh. Al-Fatihah.

Jurugambar: Koperal Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Lans Koperal Mohd Shazril Abd Rashid.

May be an image of 2 people, people standing, indoor and text

May be an image of 2 people, people standing and indoor

May be an image of 2 people, people standing and indoor

May be an image of one or more people, people standing and outdoors

May be an image of 3 people, people sitting, people standing, indoor and text

May be an image of 2 people, people standing, indoor and text

May be an image of 1 person, standing and indoor

May be an image of one or more people, people standing and indoor

May be an image of one or more people, people standing and indoor

May be an image of 2 people and people standing

May be an image of 1 person, standing, indoor and text

May be an image of 2 people, people standing, indoor and text

May be an image of 2 people, people standing and indoor

May be an image of 6 people, people standing and indoor

May be an image of 5 people, people standing and indoor

May be an image of 7 people, people standing, indoor and text

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS