Kuantan, 24 November 2021 - Seramai tujuh Pegawai Kanan dan Anggota Pangkat Rendah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang hari ini menerima Sijil Penghargaan daripada Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Datuk Seri Hj. Mazlan Lazim dalam satu majlis penghargaan yang berlangsung di Dewan Tun Razak, IPK Pahang.
Kesemua penerima merupakan pegawai dan anggota yang telah menunjukkan komitmen dan kesungguhan bertugas dalam perkhidmatan sepanjang tahun ini.
Terdahulu, Datuk Seri Hj. Mazlan yang dalam lawatan kerja rasmi ke Kontinjen Pahang tiba di perkarangan IPK pada jam 10.00 pagi telah disambut oleh Ketua Polis negeri, CP Dato' Ramli Mohamed Yoosuf sebelum membuat pemeriksaan baris ke atas kawalan kehormatan utama dan menandatangani buku pelawat.
Beliau kemudiannya mengadakan perjumpaan dan menyampaikan amanat kepada barisan Ketua Jabatan dan Ketua Polis Daerah sambil menyeru agar momentum kecemerlangan dalam mengekalkan keamanan dan kesejahteraan masyarakat di negeri tersebut terus terpelihara.
Pada sebelah petangnya pula, Datuk Seri Hj. Mazlan meneruskan lawatan kerja ke Markas Briged Tenggara, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan merasmikan Kelab Bola Sepak Kem Galing Briged Tenggara sebelum dibawa menyusuri Sungai Pahang melalui Pangkalan Polis Marin Wilayah 3, Padang Lalang, di sini.
Dalam siri lawatan kerja selama tiga hari itu, Datuk Seri Hj. Mazlan turut dijadualkan menyantuni dan menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat kepada 38 pesara dan asnaf PDRM serta menziarahi penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara, pesara Koperal Shaari Husin dan ahli keluarga bekas anggota Cawangan Pengangkutan IPK Pahang, Allahyarham Konstabel Mohd Hafizudin Mahusin yang terkorban dalam nahas jalan raya pada tahun 2015.
Beliau juga dijadualkan melawat Pondok Polis Bukit Goh, Kuantan untuk berjumpa dengan masyarakat setempat dengan diiringi Pengerusi Persatuan Kami Anak FELDA (KAF) Bukit Goh, Dato’ Mohd Bakri Abdul Majid.
Sebelum mengakhiri lawatan kerja di Kontinjen Pahang, Datuk Seri Hj. Mazlan dan isteri merangkap Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Datin Seri Hjh. Anizah Musa dijadualkan melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran bagi merasmikan Surau An-Nur serta Rumah PERKEP di IPD berkenaan.
Datuk Seri Hj. Mazlan yang tiba di Kontinjen Pahang Selasa lalu turut memenuhi undangan Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (PACSU) bagi merasmikan Majlis Persidangan Perwakilan Tri Tahunan Kali Ke-38 (2021-2024) kesatuan tersebut di Dewan Rafflesia, De Rhu Beach Resort, dekat sini.
Ianya merupakan program tahunan PACSU bagi meraikan pemenang Pingat Emas PACSU dan Anugerah Cawangan Terbaik PACSU bagi tahun 2018-2021.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Pahang, DCP Dato' Mohd Yusri Hj. Hassan Basri, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Tuan Ruslan Khalid, Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Agama dan Kaunseling) Bukit Aman, DCP Tuan Sulaiman Yahya, Komander Briged Tenggara, PGA, SAC Tuan Hassan Basri Ahmad Safar serta Penolong Pengarah Pengurusan (Hal Ehwal Pesara) Bukit Aman, ACP Puan Siti Dalila Mohd Yasin.