Menu

TIMBALAN KPN TIBA DI KONTINJEN TERENGGANU UNTUK SAMPAIKAN AMANAT PASUKAN

Kuala Terengganu, 5 Disember 2021 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Datuk Seri Hj. Mazlan Lazim tiba di Kontinjen Terengganu semalam untuk bertemu dan menyampaikan amanat Pasukan kepada Ketua Jabatan, Ketua Polis Daerah (KPD) serta Ketua Polis Balai sempena lawatan kerja rasmi, hari ini.

Hadir mengiringi beliau ke negeri Darul Iman itu ialah isteri, merangkap Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Malaysia (PERKEP), Datin Seri Hjh. Anizah Musa, Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Agama dan Kaunseling) Bukit Aman, DCP Tuan Sulaiman Yahya dan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Hal Ehwal Pesara) Bukit Aman, DCP Datuk Sulaiman Salleh.

Turut berlangsung dalam lawatan tersebut ialah penyampaian sijil penghargaan kepada 26 pegawai dan anggota Polis Terengganu atas kecemerlangan tugas yang dipamerkan sepanjang tahun ini. Mendahului senarai penerima sijil penghargaan tadi ialah Timbalan Ketua Polis Terengganu, SAC Tuan Norhalid Kimi.

Terdahulu di sebelah pagi, Timbalan KPN yang tiba di Padang Kawad Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 6, Wakaf Tapai dekat Marang telah disambut oleh Ketua Polis negeri, DCP Dato' Rohaimi Md. Isa bagi menyempurnakan penyerahan 26 buah Toyota Hilux GS Cargo kepada Polis Terengganu dan menyampaikan "mock key" kepada semua KPD Terengganu.

Dalam majlis sama, Timbalan KPN turut berbesar hati menyantuni para pesara dan asnaf di negeri tersebut dengan menyampaikan sumbangan kebajikan kepada mereka yang terlibat.

Seramai dua pesara dan seorang balu polis juga disantuni di rumah mereka di sekitar negeri tersebut. Mereka ialah pesara ASP Che Maghtar Che Hashim, pesara Sarjan Mohd Tajudin @ Zainuddin Jaafar dan balu kepada anggota Cawangan Pengangkutan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Allahyarham Koperal Wan Hazari Wan Hamat iaitu Puan Raznasyira Nanlianahasli Razali.

Hadir sama dalam lawatan kerja itu ialah Ketua Urus Setia KPN (Pentadbiran), SAC Tuan Kamaruzaman Abdullah, barisan Ketua Jabatan IPK Terengganu dan Pegawai Pemerintah PSP Unit 6, Superintendan Wan Razani Wan Iberahim.

Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan, Koperal Muhamad Rafsamjani Shamsul Bahar dan Konstabel Bryanlie Mustin.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS