Petaling Jaya, 16 Disember 2021 - Kes-kes memandu secara melawan arus bagaikan menjadi trend dan terbaharu, banyak membabitkan pemandu p-hailing yang menunggang motosikal bagi mengejar trip sehingga sanggup menggadai nyawa.
Selain itu, kejadian itu juga ada yang berpunca daripada pemandu bagi semua jenis kenderaan yang nyanyuk, mengikut aplikasi tunjuk arah, bermain telefon manakala sebahagian lagi kerana mabuk atau khayal angkara dadah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), CP Datuk Wira Mat Kasim Karim berkata, kes-kes memandu melawan arus banyak berlaku di jalan-jalan negeri dan bandaran kerana di lokasi tersebut pemandu boleh melakukan sesuka hati berbanding kejadian di lebuh raya yang diletakkan penghadang.
Menurut beliau, daripada siasatan, kenderaan dipandu oleh warga emas turut menyumbang berlakunya kejadian memandu lawan arus disebabkan faktor kesihatan seperti mereka nyanyuk dan cepat lupa.
Kata beliau, faktor lain apabila pemandu tanpa mengira umur memandu dalam keadaan tidak fokus atau keliru dengan arah aliran kenderaan selain menggunakan telefon bimbit dan aplikasi tunjuk arah.
"Berdasarkan statistik, sebanyak 1,627 kes pandu lawan arus direkodkan sejak 2019 sehingga November lalu.
"Daripada jumlah itu, kes paling tinggi dilaporkan pada tahun lalu iaitu sebanyak 678 kes diikuti 2019 (564 kes) selain 385 kes lagi dilaporkan Januari hingga November lalu," katanya di sini semalam.