Menu

DATUK SERI HJ. MAZLAN BERSARA SETELAH 35 TAHUN BERKHIDMAT DALAM PDRM

Di sini ada pegawai yang tekun bekerja,
Di sini ada ketua yang tidak pernah kenal erti lelah bekerja,
Di sini ada khalifah yang banyak berjasa dan
Di sini ada pemimpin yang berjiwa mulia...

Beliaulah DIG Datuk Seri Hj. Mazlan Lazim, Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN) ke-27 yang tercatat dalam lipatan sejarah Pasukan.

Datuk Seri Hj. Mazlan secara rasmi hari ini menyerahkan jawatan Timbalan KPN kepada pengganti beliau, DIG Dato' Razarudin Husain dalam Majlis Serah Terima Tugas yang berlangsung petang tadi.

Majlis yang berlangsung di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur itu disaksikan oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani.

Datuk Seri Hj. Mazlan yang dilahirkan pada 25 Disember 1961 merupakan anak jati Kota Setar, Kedah dan mula menyertai Polis Diraja Malaysia sebagai seorang Kadet ASP pada 2 Februari 1986.

Berkelulusan Sarjana Muda dalam bidang Sains Ekonomi Sumber dan Sarjana Pembangunan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia, Datuk Seri Hj. Mazlan pernah diamanahkan beberapa jawatan penting dalam Pasukan.

Antaranya, Ketua Polis Daerah (KPD) Padang Besar, Perlis pada tahun 2002, KPD Seberang Perai Utara, Pulau Pinang (2004), Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kelantan (2006), Ketua Polis Kelantan (KP) (2014), Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan, Jabatan Pedana Menteri (2016), KP Kuala Lumpur (2017) dan seterusnya Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi pada tahun 2020.

Berucap dalam Majlis Serah Terima Tugas di PULAPOL tadi, Datuk Seri Hj. Mazlan menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan KPN kerana memberi kepercayaan kepada beliau untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah kepada Pasukan.

"Di kesempatan ini, saya menyeru kepada semua warga PDRM, agar kita dapat memikul tanggungjawab hisbah ini dengan penuh amanah. Laksanakanlah setiap tugasan yang diamanahkan dengan penuh ikhlas dan berintegriti," ujar beliau.

Turut berlangsung dalam majlis sama ialah Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia di antara Datin Seri Hjh. Anizah Musa dengan isteri kepada Dato' Razarudin iaitu Datin Zainah Othman dengan disaksikan oleh Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Ir. Zaitun Mohd Isa.

Perbarisan Paluan Berundur sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti selama 35 tahun yang dicurahkan Datuk Seri Hj. Mazlan pula berlangsung di Dataran Kawad PULAPOL, sejurus majlis di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim selesai.

Ianya bermula dengan Datuk Seri Hj. Mazlan membuat pemeriksaan baris terhadap Kawalan Kehormatan dari Pasukan Simpanan Persekutuan sebelum memberikan tabik hormat kepada Panji-panji Utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 22 Panji-panji Unit Pasukan.

Upacara Perbarisan Paluan Berundur itu diakhiri dengan persembahan khas dari Pancaragam Pusat PDRM dan menurunkan bendera Sang Saka Biru sebagai simbolik selesainya majlis sebelum Datuk Seri Hj. Mazlan menandatangani buku pelawat buat kali yang terakhirnya di Balai Pengawal PULAPOL.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Dato' Hj. Abdul Halim Abdul Rahman dan isteri, Datin Aniza Abdul Rahim, barisan Pengarah PDRM bersama isteri, Pesuruhjaya dan Ketua Polis negeri bersama isteri, ahli keluarga Datuk Seri Hj. Mazlan serta ahli-ahli PERKEP.

Bagi pihak seluruh warga PDRM khususnya dari Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) Bukit Aman, dari lubuk hati yang paling dalam, kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Hj. Mazlan Lazim atas segala ilmu, jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan selama ini.

Selamat bersara buat Datuk Seri Hj. Mazlan Lazim. Kami mendoakan agar Datuk Seri memperolehi kehidupan yang sejahtera serta dilimpahi kesihatan yang berkekalan sepanjang melewati usia persaraan ini. Insya-Allah.

Jurugambar: Koperal Muhammad Iqtar Azmi & Koperal Muhammad Rafsamjani Shamsul Bahar.

May be an image of 5 people, people standing and outdoors

May be an image of 7 people and people standing

May be an image of 4 people, people standing and text

May be an image of 5 people, people standing and text

May be an image of 1 person, standing, sitting, headscarf and indoor

May be an image of 3 people, people standing and text

May be an image of ‎5 people and ‎text that says '‎POLIS DIRAJA MALAYSIA Majtis Serah Terima TTuga TIMBALAN KETUA POLIS NEGARA YDH DIG DATUK SERI HAJI MAZLAN BIN LAZIM KEPADA YDH DיG DATO' RAZADIN BIN HUSAIN 24 DISEMBER MAAT) ABDU N K PENYERAH SAKSI เอ PENERIMA‎'‎‎

May be an image of ‎6 people, people standing, headscarf and ‎text that says '‎PERKEP أو Serah Terima ENGERUSI PERKEP MAL ATIN SERI HJH. ANIZAH BINTI EPA IN G. TIN z 24 DIS TAN SR PENYERAH NTI HA SAKSI PENERIMA‎'‎‎

May be an image of 5 people, people standing and outdoors

May be an image of 9 people, people standing and outdoors

May be an image of 9 people, people standing and outdoors


 

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS