Kehadiran mereka sebagai salah satu Pasukan elit dalam Polis Diraja Malaysia bukan sahaja di hutan rimba, malah di tengah-tengah kota raya.
Nama Pasukan Gerakan Am (PGA) begitu sinonim dengan cogan kata 'Boleh Digerakkan Dalam Apa Jua Keadaan', mereka antara wira tak didendang bagi memastikan operasi pasca banjir di seluruh negara berjalan lancar dan berjaya.
Hari ini, mereka turun dengan kekuatan seramai 70 pegawai kanan dan anggota dari Batalion 7, Briged Tenggara, PGA untuk membantu penduduk setempat dan sukarelawan lain membersihkan kotoran banjir di Sungai Lembing, Kuantan, Pahang.
Walaupun cuaca panas terik sehingga ada menyebabkan lumpur banjir kian mengering, namun mereka terus menggunakan tulang empat keratnya untuk mencuci laluan utama, longkang air tersumbat dan pokok-pokok besar yang tumbang demi memastikan kehidupan seharian masyarakat di situ kembali seperti sedia kala.
Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi, operasi tersebut turut dibantu oleh pelbagai aset Pasukan seperti lima buah lori pengangkut dan sebuah jentolak untuk mengalihkan pelbagai barangan awam yang musnah akibat dilanda banjir.