Subang, 5 Januari 2022 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pasukan Gerakan Udara Pangkalan Subang hari ini menggerakkan helikopternya jenis Agusta Westland AW139 untuk meninjau kawasan bencana banjir khasnya yang sedang berlaku di selatan Semenanjung Malaysia.
Tinjauan melalui udara yang bermula jam 10.30 pagi tadi diketuai oleh Timbalan Komander (Operasi) PGU, SAC Dato' Noor Sham Md Jani dengan dibantu Penolong Juruterbang, ASP Mohd Huzir Yahaya dan dua Pemerhati Udara, Sub Inspektor Borahan Bejo serta Koperal Nurul Liyana Zakaria.
Antara negeri terjejas banjir yang dibuat tinjauan melalui udara ialah sekitar Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Melalui operasi itu juga, PGU membuat penerbangan menghantar bantuan sumbangan kebajikan daripada Persatuan Orang Kurang Upaya Sentral ke Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Mohd Taha di Gemencheh, Negeri Sembilan.
Hadir sama, Pengerusi Agensi Berita Nasional, Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi dan Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab.
Pagi tadi, Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani telah mengarahkan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, CP Dato' Hazani Ghazali untuk menyelaras semua bentuk bantuan bagi penduduk yang terputus hubungan akibat bencana banjir, melalui jalan udara dan air menggunakan helikopter milik PGU.