Kuala Lumpur, 5 Januari 2022 - Polis menumpaskan sindiket penipuan pelaburan Forex GCG Asia, selepas menahan 10 individu termasuk dalang utama bergelar Datuk, dalam serbuan di sekitar ibu negara, Perak, Selangor, Melaka dan Johor, pada Sabtu lalu.
Dalang utama berusia 40 tahun dan mempunyai kelulusan ijazah sarjana pentadbiran perniagaan, manakala sembilan suspek lain termasuk seorang wanita berusia antara 29 hingga 64 tahun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato’ Mohd Kamarudin Md Din berkata, hasil serbuan pihaknya merampas sembilan kereta mewah membabitkan dua Toyota Vellfire dan masing-masing sebuah Mercedes Benz C200, Lamborghini, Porsche Taycan 4S, BMW X3, Toyota Aplhard, Volkswagen Jetta dan Bentley dengan nilai keseluruhan RM4.6 juta.
Turut dirampas pelbagai barangan termasuk 64 jam tangan pelbagai jenama bernilai RM98.9 juta, lima jongkong emas seberat lima kilogram (kg) (RM1.45 juta), satu kad persatuan bekas polis, mata wang kripto berjumlah RM21.4 juta serta wang tunai berjumlah RM100,800.
"Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM126.9 juta. Siasatan mendapati dalang itu bergelar Datuk, namun menggunakan gelaran Datuk Seri untuk menjalankan operasi sindiket itu. Kita juga sedang mendapatkan pengesahan sama ada suspek pernah berkhidmat sebagai anggota polis, susulan rampasan kad persatuan berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 serta Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959," katanya.