Melaka, 15 Januari 2022 - Kes penipuan sijil melalui aplikasi MySejahtera terus dikesan apabila sepasang suami isteri yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan di Alor Gajah di sini, ditahan polis kerana disyaki mempunyai sijil vaksin palsu.
Turut ditahan seorang lelaki berusia 58 tahun bekerja di pejabat sama dipercayai berperanan sebagai orang tengah untuk pasangan suami isteri itu memperoleh sijil lengkap dua dos vaksin palsu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, penipuan pasangan masing-masing berusia 38 dan 33 tahun itu dikesan selepas mereka mengemukakan sijil vaksin lengkap dua dos itu kepada ketua jabatan sebagai syarat menerima bonus tahunan.
"Aplikasi MySejahtera berstatus vaksin lengkap dua dos itu dicurigai palsu. Ini menyebabkan pihak jabatan mengutus surat kepada Klinik Kesihatan Rembia untuk membuat semakan mengenai status vaksin pasangan itu pada 31 Disember lalu.
"Maklum balas daripada klinik pada 5 Januari lalu mengesahkan kedua-dua pasangan suami isteri itu tidak pernah menerima apa-apa vaksin. Ini sekali gus membuktikan mereka menipu pihak jabatan dalam memalsukan dokumen aplikasi MySejahtera berhubung penerimaan vaksin lengkap dua dos," katanya kelmarin.
Bacaan lanjut seperti dalam keratan akhbar terbitan Harian Metro.