Lipis, 5 Februari 2022 - Dalam usaha mengeratkan silaturahim, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan pertandingan sepak takraw dengan belia setempat di gelanggang Balai Polis Penjom, Lipis, Pahang, baru-baru ini.
Seramai 12 orang anggota PDRM dan belia Penjom menyertai pertandingan itu secara santai dan penuh kemesraan selari dengan matlamat program Talk To Us (Bercakap Dengan Kami).
Ketua Polis Daerah Lipis, Suprintendan Azli Mohd. Noor berkata, program Talk To Us iaitu aktiviti penerangan mengenai perlunya kerjasama dan hubungan silaturahim antara penduduk setempat. Golongan belia pula perlu berperanan menyalurkan maklumat hal berkaitan jenayah untuk membantu PDRM melaksanakan usaha pencegahan dan pembanterasan.
"Usaha murni anggota PDRM di sini yang diketuai oleh Ketua Polis Balai Penjom, SM Roslee Yunus cukup signifikan selari usaha kita menangani kes jenayah.
"Pada masa yang sama usaha ini dapat memupuk hubungan yang erat dengan penduduk seperti yang terdapat amalan Komuniti Kepolisan," katanya di Penjom, Lipis, Pahang, baru-baru ini.