Kuala Selangor, 10 Februari 2022 - Pendatang asing dari Indonesia yang mahu menyusup masuk ke Malaysia akan dikenakan bayaran RM1,800 (enam juta rupiah) setiap seorang kepada ejen sindiket penyeludupan migran.
Itu ‘syarat’ utama sindiket yang dibongkar Bahagian (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, menerusi Op Pintas di perairan Tanjung Karang di sini pada Selasa.
Ketua Penolong Pengarah D3, JSJ Bukit Aman, SAC Tuan Fadil Marsus berkata, operasi dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pelabuhan Klang berjaya menahan 44 migran warga Indonesia terdiri daripada 39 lelaki dan lima wanita.
Menurut beliau, turut ditahan adalah seorang tekong laut dan tiga pembantu tekong warga Indonesia berusia dalam lingkungan 32 hingga 52 tahun.
"Kesemua warga Indonesia terbabit ditahan hasil maklumat dan risikan D3 bersama PPM Wiiayah Satu Pelabuhan Klang sebelum berjaya mengesan cubaan sebuah bot pom-pom yang dipereayai datang dari Tanjung Balai, Indonesia menuju ke Kuala Selangor.
"Pemeriksaan mendapati terdapat elemen penyeludupan migran menggunakan laluan tidak diwartakan (jalan laut)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Bacaan lanjut menerusi keratan akhbar Sinar Harian di lampiran.
Sumber: Sinar Harian