Petaling Jaya, 2 Mac 2022 - Sebanyak 81,079 kes rakyat Malaysia terlibat dalam penipuan siber membabitkan kerugian RM1.52 bilion dalam tempoh empat tahun sejak 2018.
Penipuan telekomunikasi termasuk Macau Scam mencatat bilangan paling tinggi iaitu 23,161 kes membabitkan nilai kerugian RM986.9 juta.
Ini diikuti pelaburan berjumlah RM827.6 juta dengan membabitkan 6,894 kes.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato' Mohd Kamarudin Md Din berkata, selain itu sebanyak 22,282 kes penipuan e-dagang atau pembelian dalam talian dengan kerugian RM166.5 juta serta 19,814 kes pinjaman tidak wujud bernilai RM196 juta.
Beliau berkata, dalam tempoh yang sama sebanyak 6,284 kes berkaitan Love Scam (RM304.8 juta) dan 2,804 penipuan kewangan (e-financial fraud) berjumlah RM277.9 juta direkodkan polis.
Jelas beliau, walaupun pelbagai peringatan dan usaha dijalankan pihaknya serta beberapa agensi berkaitan namun kes penipuan siber semakin meningkat dalam tempoh empat tahun ini.
"Ramai lagi masih ditipu kerana terpedaya dengan tawaran dalam talian dan kurang peka dengan jenayah siber.
"Malah bagi penipuan Macau Scam, identiti mangsa beserta kad pengenalan yang disebut sindiket dengan tepat menyebabkan individu panik dan ditipu," katanya.
Bacaan lanjut seperti di keratan akhbar terbitan Utusan Malaysia di lampiran.