Kuala Terengganu, 5 Mac 2022 - Lebih RM21,000 sumbangan kepada mangsa banjir berjaya dikumpul dalam Program Bridge to Bridge: Charity Ride Kontinjen Terengganu yang diadakan di Dataran Pantai Batu Burok, di sini pada Sabtu.
Pengarah Pengurusan, CP Dato' Zaini Jass berkata, kutipan hasil penganjuran program itu diserahkan kepada Tabung Bencana Banjir Negeri Terengganu bagi manfaat mangsa terjejas bencana banjir.
“Dalam bersukan kita tidak lupa kepada mereka yang dilanda banjir dan ini menunjukkan hubungan erat polis bersama masyarakat sesuai dengan motto Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu sendiri,” katanya selepas menyertai program itu.
Program Bridge to Bridge: Charity Ride Kontinjen Terengganu merupakan program kayuhan basikal amal yang turut disertai Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Ketua Polis Terengganu, DCP Dato' Rohaimi Md Isa dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil.
Program bermula jam 8 pagi itu melibatkan penyertaan seramai 1,126 peserta dari 10 negeri iaitu Terengganu, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Kedah, Selangor dan Kelantan dengan kayuhan sejauh 65 kilometer.
Sementara itu Dato' Zaini turut memaklumkan, seramai 48 keluarga polis yang bertugas di Terengganu dikenalpasti turut terjejas banjir gelombang kelima bermula Jumaat lalu.
“Sumbangan yang dikumpulkan bagi membantu mangsa banjir yang melanda Terengganu baru-baru ini adalah sebagai tanda polis juga cakna kepada mereka,” katanya.