Menu

POSTING PILIHAN: POLIS RAMPAS ROKOK TAK BERCUKAI RM2 JUTA, TAHAN KETUA SINDIKET

Kuala Lumpur, 10 Mei 2022 - Polis melumpuhkan sindiket pengedaran rokok tidak bercukai bernilai RM2 juta selepas merampas 8,207 karton rokok pelbagai jenama dalam serbuan di sebuah rumah sekitar Kepong Baru, semalam.
Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Zulkifli Jonit, berkata serbuan pada jam 11 pagi itu turut berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun. "Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Briged Tengah PGA Cheras dan merampas pelbagai barangan termasuk rokok pelbagai jenama. "Kita merampas 8,207 karton rokok, sebuah telefon bimbit dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Isuzu D Max yang disyaki digunakan untuk aktiviti pengedaran rokok," katanya dalam kenyataan, hari ini. "Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2,022,632.20. Dengan tertangkapnya suspek, polis percaya berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar ibu negara yang menjadikan kediaman disewa di taman perumahan sebagai stor penyimpanan rokok. "Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki rokok seludup dan meminta masyarakat dapat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang," katanya.

Sumber: Briged Tengah PGA Polis Diraja Malaysia dan Berita Harian

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS