Petaling Jaya, 23 Mei 2022 - Kira-kira RM183.14 juta harta melibatkan sindiket dadah di seluruh negara disita Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam tempoh 15 bulan sehingga 31 Mac lalu.
Kesemua sitaan tersebut membabitkan RM162.98 juta sepanjang tahun lalu manakala RM20.16 juta pada 1 Januari hingga 31 Mac tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah JSJN Bukit Aman, CP Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua aset yang disita tersebut seperti wang, kenderaan, kediaman dan barang-barang peribadi mereka yang membabitkan semua sindiket dadah termasuk milik raja dadah dan pengedar.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM16.8 juta melibatkan aset kenderaan, bangunan (RM8 juta) manakala RM4.78 juta adalah wang dalam akaun bank serta aset tanah (RM4.5juta).
"Kita turut menyita wang tunai berjumlah RM1.93 juta, barang kemas (RM893,158), lain-lain harta (RM184,400), saham (RM159,399) dan peralatan elektrik (RM12,400).
"Semua harta tersebut dilucut di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 membabitkan RM19.15 juta (2021) dan RM3.73 juta untuk tiga bulan tahun ini.
Tambahnya, JSJN sentiasa memastikan harta sindiket dirampas hasil daripada jenayah dadah ini dapat dilucut hak jika terbukti ia hasil daripada kegiatan haram.
"Selain itu, JSJN tidak akan berhenti menjalankan operasi bagi membanteras kegiatan penyeludupan, pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negara ini," jelasnya.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Utusan Malaysia seperti di lampiran.