Georgetown, 3 Jun 2022 - Polis menubuhkan satu unit tindakan khas melibatkan anggota trafik untuk meronda secara berkala di Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) dalam usaha mencegah tindakan bunuh diri dengan terjun dari kedua-dua jambatan.
Ketua Polis Pulau Pinang, CP Dato’ Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, secara purata seramai 77 orang di negeri itu membunuh diri dalam tempoh setahun sepanjang tiga tahun lepas iaitu di antara 2020 hingga Mei 2022 dan daripada statistik itu pula, sebanyak 20 kes adalah dengan cara terjun dari jambatan.
Beliau berkata, pihaknya turut membawa isu itu kepada pengetahuan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan turut bekerjasama dengan beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan dalam mencari penyelesaian kepada insiden tersebut.
"Kes bunuh diri adalah isu sensitif termasuk kepada keluarga mangsa dan adalah sukar untuk kita menyatakan motif tindakan itu diambil sama ada (berpunca daripada) masalah peribadi, tekanan keluarga atau wang.
"Lebih perhatian dan kekerapan laporan bunuh diri dengan terjun dari Jambatan Pulau Pinang juga boleh menyebabkan lebih ramai yang cuba membunuh diri dengan cara terjun dari situ," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.