Kuala Lumpur, 7 Jun 2022 - Petinju Kelab Muaythai Kuda Merah Polis Diraja Malaysia, Muhammad Rafi Abdul Manaf mengekalkan status juara Tali Pinggang Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) selepas menewaskan petinju Kelab Muaythai Raja Lebah Thailand, Oii Prachit menerusi technical knock-out (TKO) di Kejohanan KWP-RXD BULL Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Kuda Merah Muaythai Challenge 2022 di Stadium Titiwangsa, pada Ahad.
Sayembara dua jagoan muay Thai dari dua negara itu yang turut menjadi perlawanan tumpuan pada hari kedua kejohanan, nyata ditunggu-tunggu para penonton yang memenuhi stadium bagi merebut Tali Pinggang Kementerian Wilayah Persekutuan.
Menepati jangkaan, pertarungan “Superfight” lima pusingan itu berlangsung sengit sejak pusingan pertama dengan kedua-dua petinju saling berbalas serangan dalam usaha menewaskan lawan.
Namun, Muhammad Rafi lebih dikenali Mat Ropi berstatus juara bertahan sejak 2012 dilihat mula menggandakan asakan terhadap Prachit pada pusingan kedua hingga memaksa pengadil menghentikan perlawanan setelah petinju Thailand itu rebah buat kali kedua ketika cuba menangkis asakan-asakan lawan.
Kejohanan pada hari kedua kali ini itu turut menyaksikan tiga lagi keputusan TKO bagi tiga pertarungan “Superfight” lima pusingan manakala keputusan pertarungan “Superfight” tiga pusingan ditentukan menerusi kiraan mata.
Pertarungan bagi merebut tali pinggang RXD BULL pula dimenangi petinju dari Kelab Muaythai Red Volves Cambodia, Ritalporn Norodoon, dengan keputusan TKO ke atas petinju Kelab KL Seven PMKL, Danial Kadir.
Bacaan lanjut di pautan seperti berikut,
Sumber: Muaythai Kuda Merah dan Sinar Harian