Kota Bharu, 15 Jun 2022 - Polis Kelantan merampas 2,474 karton rokok seludup pelbagai jenama menerusi serbuan di sebuah rumah banglo di Kampung Telok Kitang, Pengkalan Chepa, Ahad lalu.
Op Kontraban dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan jam 10 malam itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 30-an.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, SAC Datuk Mohd Nor Yhazid Idris berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan intipan dilakukan pihaknya sejak beberapa minggu lalu.
"Semua rampasan membabitkan 2,474 karton rokok dengan nilai keseluruhan sebanyak RM277,000," katanya di sini, semalam.
"Hasil soal siasat juga mendapati suspek mengaku terbabit kegiatan penyeludupan rokok sejak Mac lalu.
"Suspek kini direman empat hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.
Bacaan lanjut seperti dalam akhbar terbitan Harian Metro.