Kuala Lumpur, 18 Jun 2022 - Kes penipuan "Macau Scam" merekodkan kerugian tertinggi berbanding kes penipuan lain iaitu melebihi RM155 juta pada tahun ini.
Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, SAC Victor Sanjos berkata, jumlah itu adalah yang dilaporkan bagi tempoh lima bulan sejak Januari melibatkan 3,604 kes.
Menurut SAC Victor, daripada jumlah kes itu, seramai 1,181 orang ditangkap dan 966 orang telah dituduh di mahkamah.
"Jumlah kerugian akibat kes "Macau Scam" ini jauh lebih tinggi berbanding kes tipu pelaburan dengan kerugian RM97.9 juta membabitkan 1,493 kes.
"Selain itu, kes "Love Scam" merekodkan 361 kes dengan kerugian RM17.1 juta manakala jenayah e-dagang pula mencatatkan sebanyak 3,835 kes melibatkan kerugian RM48.2 juta," katanya.
Beliau berkata, modus operandi baharu "Macau Scam" yang dikesan adalah penyamaran panggilan daripada pejabat insurans. Mangsa dikatakan telah membuat tuntutan insurans palsu dan seterusnya disambungkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
Sumber: Sinar Harian