Kota Kinabalu, 9 Julai 2022 - Polis menahan enam pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Inanam selepas dipercayai terlibat dalam kes buli.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian membabitkan seorang mangsa buli yang juga pelajar perempuan di sekolah sama itu juga tular di media sosial sejak kelmarin.
“Pada masa sama polis turut menerima laporan daripada bapa mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
ACP Mohd Zaidi berkata, bertindak atas maklumat kejadian, pihak polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
“Setakat ini polis sudah menahan enam pelajar perempuan dari sekolah sama berumur dalam lingkungan 13 hingga 16 tahun.
“Polis turut menahan seorang lagi perempuan berumur 17 tahun yang juga bekas pelajar sekolah tersebut bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.
Sumber: Utusan Borneo