Menu

ARTIKEL PILIHAN: POLIS GEMPUR FLAT 'COLUMBIA', 42 DITAHAN

Sungai Petani, 15 Julai 2022 - Polis menggempur kawasan Flat Paya Nahu, di sini yang menjadi sarang pengedaran dan penagihan dadah serta aktiviti jenayah lain menerusi Op Cantas Khas Muda selama dua hari, berakhir semalam.

Operasi itu membabitkan lebih 400 anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Bahagian Siasatan Jenayah seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1 dan Batalion 2.
Kawasan terbabit turut dikenali jolokan flat 'Columbia' dan digelar penduduk 'kubu' bagi aktiviti terlarang.

Ketua Polis Kedah, CP Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata operasi besar-besaran itu berjaya menahan 42 individu iaitu 36 lelaki dan enam wanita ditahan atas pelbagai kesalahan, termasuk lapan individu dikehendaki.

"Operasi ditumpukan di kawasan berkenaan susulan aduan daripada pelbagai pihak termasuk penduduk setempat yang mendakwa flat terbabit menjadi sarang pelbagai aktiviti jenayah.

"Selain itu, kita turut merampas pelbagai jenis dadah, rokok seludup, dawai tembaga dan air ketum serta turut mengeluarkan 78 saman trafik.

"Hari pertama operasi adalah serbuan sasaran yang tertumpu kepada orang dikehendaki serta gangsterism, kontraban, bengkel haram, judi, sarang penagih dan ketum serta masalah sosial.

"Sementara hari kedua pula kita namakannya sebagai serbuan 'house to house', yang mana hampir 600 rumah diperiksa," katanya di sini, hari ini.

Bacaan lanjut di pautan seperti berikut, https://www.bharian.com.my/.../polis-gempur-flat-columbia...

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS