Petaling Jaya, 23 Julai 2022 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa berusaha memperbaiki integriti dalam Pasukan demi menaikkan imej dan kewibawaan warganya agar sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat sentiasa berada pada tahap terbaik.
Justeru, satu program strategik antara PDRM dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah diadakan di Taman Jaya, di sini, hari ini dengan upacara lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai simbolik usaha sama kedua-dua agensi dalam memerangi jenayah rasuah dalam Pasukan.
Lafaz ikrar yang diketuai oleh Penolong Pengarah Perolehan/Pembangunan/Kewangan, Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM, DSP Asyurel Azmean Badril turut melibatkan 300 pegawai dan anggota dari Kontinjen Polis KL, Polis Selangor dan Bukit Aman.
Sesi menandatangani dokumen IBR kemudiannya disaksikan oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM (JIPS), CP Dato’ Sri Azri Hj. Ahmad bersama Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya, Tuan Nurahim Abd. Rahim.
Pelaksanaan program tersebut juga adalah selaras dengan Pelan Antirasuah PDRM 2020-2024 selain dapat memberi pendedahan kepada masyarakat bahawa PDRM terus berinisiatif dalam memberi pendidikan kepada warga Pasukan supaya amalan nilai murni dan integriti dapat diperkukuhkan.
Hadir sama, barisan Timbalan Pengarah JIPS, Ketua Penolong Pengarah JIPS, Ketua Jabatan JIPS, Ketua Bahagian JIPS, para pegawai kanan PDRM dan SPRM serta ahli Persatuan Kepolisan Komuniti Selangor dan Kuala Lumpur.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin










