Kuala Lumpur, 25 Julai 2022 - Siri jelajah bersama Dato’ Azhar Othman atau Dato' Awie sempena Kempen Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022 melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) diteruskan ke negeri pantai timur bermula hari ini sehingga 28 Julai 2022.
Majlis pelepasan konvoi siri jelajah yang memasuki fasa-2 tersebut telah disempurnakan sendiri oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato' Mohd Kamarudin Md Din di Route 77 Harley Davidson, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, di sini, pagi tadi.
Konvoi melibatkan 35 penunggang motosikal berkuasa tinggi itu akan ke lokasi-lokasi tumpuan orang ramai seperti Mydin Mall Kota Bharu, Kelantan, KTCC Kuala Terengganu, Terengganu dan Kuantan Parade, Pahang.
Turut hadir di majlis pelepasan konvoi tadi, Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram/Siasatan Perakaunan Forensik) JSJK Bukit Aman, DCP Dato’ Muhammed Hasbullah Ali, Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJK Bukit Aman, SAC Willey Anak Richard, Ketua Penolong Pengarah (Jenayah Pengubahan Wang Haram) JSJK Bukit Aman, SAC Fazliysham Abdul Majid, barisan pegawai kanan polis, rakan-rakan strategik dan pengamal media.