Putrajaya, 14 Ogos 2022 - Atlet lumba basikal Kontinjen Bukit Aman, Lans Koperal Muhd Arfy Qhairant Amran hari ini menjuarai acara kriterium lelaki terbuka, dalam Kejohanan Lumba Basikal Piala Ketua Polis Negara (KPN) Tahun 2022.
Beliau menewaskan pelumba lain dari Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL KL) dan Kontinjen Perak dalam kejohanan tersebut yang berlangsung di hadapan Istana Kehakiman Putrajaya, di sini.
Kejuaraan Lans Koperal Muhd Arfy Qhairant itu sekali gus meletakkan Kontinjen Bukit Aman sebagai juara keseluruhan terbaik, diikuti Kontinjen Johor dan PULAPOL KL.
Manakala acara kriterium wanita terbuka dan kriterium veteran terbuka pula, menyaksikan atlet berbasikal kebangsaan, Lans Koperal Nurul Suhada Zainal dari Kontinjen Bukit Aman dan ASP Khairul Anwar Khairuddin dari Kontinjen Selangor dinobatkan sebagai johan.
Selain juara-juara kejohanan tersebut, acara yang dikelolakan oleh Majlis Sukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berjaya menarik minat 129 atlet berbasikal Pasukan dari seluruh kontinjen untuk menyertai pertandingan.
Penyampaian hadiah kepada para pemenang tadi telah disempurnakan oleh Pengarah Pengurusan merangkap Pengerusi Majlis Sukan PDRM, CP Datuk Zaini Jass yang mewakili KPN, IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani.
Hadir sama, Ketua Polis (KP) Negeri Sembilan, DCP Dato' Ruslan Khalid, Timbalan KP Selangor, DCP Dato’ Sasikala Devi Subramaniam, Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, SAC Mohd Said Ibrahim, wakil Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia, Tuan Hj. Norazman Datuk Hj. Abu Samah, wakil Persatuan Berbasikal Putrajaya, Tuan Hj. Azmi Mohd Amin dan Setiausaha Majlis Sukan PDRM, Superintendan Muhammad Najib Hamzah.