Kuala Lumpur, 19 Ogos 2022 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani hari ini menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada barisan pucuk pimpinan dan seluruh keluarga besar Pasukan atas komitmen memastikan 'Key Performance Indicator' (KPI) 2021 mencapai sasaran.
Jelasnya, langkah pencegahan jenayah yang berterusan dan berstrategi serta pembanterasan jenayah secara
agresif dan menyeluruh dapat membina persepsi positif sekali gus menaikkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mata masyarakat.
Tan Sri Acryl Sani turut menzahirkan harapan agar Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) terus mengekalkan komitmen dalam pengurangan jenayah indeks.
"Dalam masa sama, merangka pelan keselamatan yang lebih komprehensif bagi mendepani cabaran jenayah baharu seperti pornografi kanak-kanak, jenayah siber seksual, buli siber dan pemerdagangan manusia yang semakin mendapat perhatian masyarakat", ujar beliau sewaktu menyampaikan ucapan dalam Perhimpunan Bulanan KPN di Dataran Kompleks 3 Bukit Aman, di sini.
Perhimpunan bulan Ogos 2022 pagi tadi turut dihadiri Timbalan KPN, DIG Tan Sri Razarudin Husain, Pengarah JSJ selaku pengerusi jawatankuasa penganjur, CP Dato' Sri Abd Jalil Hassan dan barisan Pengarah PDRM.
Dalam majlis tersebut juga, Tan Sri Acryl Sani berbesar hati menyampaikan Sijil Penghargaan KPN kepada 54 warga PDRM Bukit Aman yang telah mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang perkhidmatan.