Shah Alam, 27 September 2022 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani merangkap Yang Dipertua (YDP)
Koperasi Polis DiRaja Malaysia Berhad hadir merasmikan cawangan pertama Ar Rahnu koperasi itu di Seksyen 9, di sini hari ini.
Dalam ucapan perasmiannya, Tan Sri Acryl Sani berbangga dengan pencapaian Koperasi PDRM hingga berjaya mewujudkan Ar Rahnu sebagai nilai tambah kepada perkhidmatan serta produk koperasi, sekali gus memberikan pulangan terbaik demi manfaat seluruh ahli anggotanya.
Tambahnya, selain di Shah Alam, dua lagi cawangan Ar Rahnu telah dibuka di Taman Sri Gombak dan Sungai Besi, Kuala Lumpur, manakala cawangan keempat bakal beroperasi pada pertengahan November nanti di Bangi.
“Besarlah harapan saya agar Koperasi PDRM akan terus mengorak langkah menepati sasaran pembukaan 10 cawangan Ar Rahnu di sekitar Lembah Klang menjelang tahun 2025,” ucap beliau.
Turut berlangsung dalam majlis tadi adalah penyerahan wakalah zakat sebanyak RM218,723.50 kepada warga Pasukan yang akan diagihkan oleh
Bahagian Agama & Kaunseling - BAKA JIPS PDRM, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM mengikut kategori serta kelayakan yang ditetapkan.
Pemberian zakat tersebut adalah sebagai tanda keprihatinan koperasi dalam membantu ahli-ahlinya yang memerlukan.
Hadir sama, Pengerusi Koperasi PDRM Berhad, Dato’ Hasanuddin Hassan, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Persekutuan, Tuan Jaafar Ahmad, Setiausaha Koperasi PDRM Berhad, Dato’ Abdul Basir Ahmad, barisan Pengarah PDRM, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato’ Hjh. Noorsiah Mohd Saaduddin dan Ketua
Polis Selangor, CP Dato’ Arjunaidi Mohamed.
Jurugambar: Inspektor Afiq Nashriq Mohamed Yusof, Sub Inspektor Zaiddin Dahalan dan Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini.