Menu

PERHIMPUNAN PEGAWAI AWAM PDRM KE-14: KERJASAMA ERAT WARGA BERUNIFORM, PEGAWAI AWAM LANCAR TADBIR URUS PASUKAN

Kangar, 5 Oktober 2022 - Meskipun hampir dua tahun tertangguh akibat penularan COVID-19, Perhimpunan Pegawai Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) kali ke-14 hari ini berjaya menghimpunkan lebih 300 pegawai awam dari semua kontinjen di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, di sini pagi tadi.

Berucap sempena majlis tersebut, Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK PDRM) selaku penganjur dan Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (PACSU), atas jalinan usaha dalam merealisasikan perhimpunan kali ini.

Ujar beliau, kesepakatan serta kerjasama antara warga beruniform dan Pegawai Awam PDRM yang diamalkan selama ini merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kelancaran urus tadbir Pasukan.

"Saya amat berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh para pegawai awam dalam PDRM, yang meletakkan keutamaan tinggi terhadap tugas dan mampu beradaptasi dengan budaya kepolisan, serta sanggup berkorban masa dan tenaga demi Pasukan keramat ini," ucap beliau.

Menurut Tan Sri Acryl Sani lagi, pucuk pimpinan PDRM juga cakna dengan isu-isu melibatkan pegawai awam dan sentiasa bersama-sama mencari jalan penyelesaian
terbaik bagi setiap permasalahan yang dibangkitkan. "Saya melihat keperluan mengadakan persidangan tiga kesatuan yang mewakili pegawai awam dalam PDRM iaitu PACSU, Kesatuan Pegawai Awam Polis Sarawak (SPOCSU) dan Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Polis Sabah (SPACSU), sebagai wadah
terbaik untuk membincangkan mengenai isu-isu melibatkan pegawai awam secara bersama, sekali gus dijadikan majlis rasmi jabatan," tambah beliau lagi.

Turut berlangsung tadi ialah penyampaian Sijil Penghargaan KPN kepada 100 pegawai awam yang bukan sahaja mempamerkan prestasi kerja cemerlang malah ia adalah manifestasi usaha gigih dan kesungguhan mereka dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan. Sementara itu, satu majlis makan malam akan turut diadakan sebagai menghargai kehadiran para Pegawai Awam PDRM dari seluruh negara dalam perhimpunan tadi.
Hadir sama, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam CUEPACS, Dato’ Haji Adnan Mat, Pengarah JPJKK merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato’ Aidi Ismail, barisan Pengarah PDRM, Ketua Polis Perlis, DCP Dato’ Surina Saad, barisan Ketua Polis negeri, Presiden PACSU, Encik Anuar Mamat, para pegawai kanan dan anggota PDRM, ahli-ahli EXCO PACSU, presiden dan wakil SPOCSU dan SPACSU serta para perwakilan dari seluruh kontinjen.
Jurugambar: Inspektor Afiq Nashriq Mohamed Yusof, Koperal Muhamad Iqtar Azmi dan Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin.

 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS