Kuala Lumpur, 9 Oktober 2022 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau kes seorang rakyat Malaysia, Teo Boon Ching yang diekstradisi oleh Amerika Syarikat (AS) kerana dipercayai bersubahat menjalankan aktiviti pemerdagangan hidupan liar terancam dan pengubahan wang haram.
Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato’ Hjh. Noorsiah Mohd Saaduddin berkata semakan mendapati tiada
sebarang kesalahan dikesan dilakukan oleh Teo bersabit kes itu di Malaysia namun pemantauan akan terus dilaksanakan.
“PDRM dan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku terhadap rakyat Malaysia, Teo Boon Ching yang telah diekstradisi dan dituduh di Amerika Syarikat ekoran kesalahan pemerdagangan hidupan liar dan Akta Pengubahan Wang Haram (AS) pada 7 Okt 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dato’ Hjh. Noorsiah berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa di dalam dan luar negara bagi membanteras jenayah penyeludupan haiwan liar.